Mudah dan senang di bawa ke mana-mana sahaja
Oleh SUHANA VERU
suhana.veru@kosmo.com.my

PENGGUNAAN buku elektronik atau e-Book masih kurang popular dalam kalangan masyarakat di negara ini memandangkan tidak ramai yang mahu mengambil inisiatif untuk mencubanya.
Buku elektronik merupakan sejenis medium penyampaian maklumat yang merujuk kepada penggunaan data elektronik sebagai buku, namun rakyat di negara ini dilihat lebih gemar membaca buku fizikal atas faktor kepuasan.
Begitupun, perkara itu tidak menghalang Pengarah Urusan Xentral Methods Sdn. Bhd., Faiz Al-Shahab, 33, melancarkan laman web, portal www.e-sentral.com.my pada tahun lalu.
Portal berkenaan menawarkan pelbagai jenis buku dalam bentuk e-Book. Lebih menarik, bahan bacaan itu boleh dibaca terus menerusi telefon pintar dan komputer.
Mengulas lanjut mengenai e-Book, Faiz memberitahu, portal berkenaan menyediakan lebih 15,000 judul buku dalam bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Perancis dan Sepanyol.
Namun, fokus utama portal tersebut adalah untuk mempromosikan buku tempatan.
Kebanyakan buku berkisar tentang perniagaan, biografi, komik, teknologi maklumat, novel cinta dan penyiasatan.Kesemua buku itu pada asalnya merupakan buku yang dicetak oleh syarikat penerbitan tempatan selain bahan daripada penulis bebas.
Akses e-Sentral
Menyentuh mengenai cara untuk membaca buku-buku tersebut, anak jati Selangor itu memberitahu, pembaca perlu melayari laman web di www.e-sentral.com.my menerusi telefon pintar, tablet, komputer dan komputer riba.








