Blog Sukses 5S

"Gerbang perkongsian kreativiti & inovasi anda, semoga kita menjadi insan yang berfikiran sukses....senyum, seronok, sejahtera & syukur selalu.."
>>>> Fokus kepada Amalan Persekitaran Berkualiti 5S/QE - Sisih, Susun, Sapu, Seragam & Sentiasa Amal.. Jom 5S!! <<<<

Jumaat, 18 Mei 2012

INOVASI - Tong Gas Moden

Hasil Inovasi dan kreativiti, maka terhasilah Tong Gas yang nampak lebih cantik, ringan dan tidak boleh meletup (itu yg penting tu).. berikut berita dari akhbar Kosmo (16 Mei 2012)...

Silinder komposit hanya 4.7kg
Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR (Akhbar Kosmo)



TAMPIL dengan rekaan yang lebih ringan, unik dan paling penting dijamin tidak meletup dalam apa jua situasi, pengeluaran silinder gas petroleum cecair (LPG) komposit buatan tempatan bakal menyuntik inovasi baharu dalam penggunaan tong gas memasak.

Dengan variasi rekaan tong gas yang dihasilkan, pengguna juga boleh memilih rekaan yang digemari untuk diguna pakai di dapur masing-masing.

Inovasi tersebut bakal dibangun dan dipasarkan oleh syarikat 100 peratus milik bumiputera, Faidhi Holdings Sdn. Bhd. (FHSB) menjelang awal tahun hadapan.



Timbalan Presidennya, Hasrul Hisham Kassim, 31, berkata, kebimbangan mereka terhadap insiden letupan tong gas yang sering dipaparkan di dada-dada akhbar membuatkan pihaknya mengambil inisiatif mencipta produk tersebut.

“Sebenarnya, penghasilan silinder gas LPG komposit itu diilhamkan oleh presiden kami, Abu Talib Abu yang merupakan seorang bekas jurutera. Beliau yang bertanggungjawab terhadap inovasi rekaan tersebut,” ujar Hasrul Hisham ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya di Wisma UOA Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Hasrul Hisham lagi, matlamat utama mereka adalah untuk memastikan keselamatan pengguna lebih terjamin jika menggunakan rekaan yang dinamakan Silinder LPG 1Malaysia (SL1M) itu. Ia diperbuat daripada bahan lebih ringan menggunakan plastik dan gentian kaca yang menjadikan ia tahan karat dan terbukti 100 peratus kalis letupan.

Pelancaran produk inovatif itu telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 21 Mac lalu sekali gus berbangga dengan pencapaian anak tempatan yang berjaya dalam menghasilkan rekaan sedemikian.

Lantaran itu, beliau turut menyarankan syarikat minyak di negara ini agar mengambil langkah positif untuk menukar tangki besi LPG sedia ada kepada tangki komposit terbaharu itu.

SL1M turut memenangi tempat pertama dalam Anugerah Reka Bentuk Perindustrian sempena Hari Harta Intelek Negara 2012 di Kuantan, Pahang pada 28 April lalu. “Apa yang penting, terdapat beberapa ciri istimewa untuk menjadikan tong gas SL1M ini barang yang wajib dimiliki oleh setiap rumah atau restoran di Malaysia. Antaranya ia bersifat mesra pelanggan kerana ringan dan mudah diangkat terutama oleh kaum wanita.
“Jika tong gas biasa yang kosong seberat 18 kilogram (kg), tetapi dengan SL1M, perbezaan beratnya berjaya dikurangkan sehingga 61.5 peratus iaitu hanya seberat 4.7kg.” jelas Hasrul Hisham.
Jimat kos
Sewaktu sidang media selepas SL1M dilancar, Abu Talib memberitahu, menerusi pengeluaran silinder komposit tersebut, pihaknya dijangka dapat membantu kos penjimatan sehingga RM7.3 bilion daripada segi kos penyelenggaraan, pengitaran dan cat semula berdasarkan kepada jangkaan 20 juta pengguna SL1M dalam tempoh 20 tahun akan datang.
Tambahnya, pengeluaran silinder gas LPG berkenaan akan dilakukan di kilang berkapasiti rendah seluas 20.2 hektar di Pulau Carey, Selangor dalam tempoh enam hingga tujuh bulan lagi.
“Keluaran pertama hanya akan dipasarkan di sekitar Lembah Klang, memandangkan kapasiti pengeluaran yang terhad di kilang berkenaan iaitu 50,000 unit sebulan dan kami menjangkakan pasaran akan dikembangkan selepas kilang kedua yang berkapasiti tinggi beroperasi mulai tahun hadapan.
“Kilang berkapasiti tinggi ini mampu menghasilkan tiga juta silinder gas LPG komposit setahun dan mampu memenuhi keperluan pengguna di seluruh negara,” jelasnya.
FHSB juga telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Perfect Illusion Corp Sdn. Bhd., yang dilantik sebagai pengedar utama silinder berkenaan di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya.


KEJADIAN letupan kuat didakwa berpunca daripada saluran gas memasak di pusat beli-belah Empire Shopping Gallery pada 28 September 2011 menggemparkan negara. Selain itu, syarikat berkenaan menandatangani perjanjian dengan syarikat dari Korea, Creative Engineering Service Company Limited untuk membangunkan kilang pengeluaran di negara Malaysia.
Untuk kilang berkapasiti rendah, ia dibina dengan kos antara RM25 juta hingga RM30 juta termasuk modal pusingan, sementara kos pembinaan kilang berkapasiti tinggi mencecah RM300 juta kerana ia menggunakan teknologi canggih.
Apa yang pasti, harga yang ditawarkan syarikat berkenaan lebih murah berbanding produk sedia ada di pasaran ketika ini, namun kos sebenar akan ditentukan kelak selepas mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Katanya, pengeluaran produk berkenaan dihasilkan menerusi pemberian geran berjumlah RM800,000 daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).
“Kami sudah memulakan kajian dan penyelidikan sejak tahun 2005 sebelum menghasilkan prototaip pertama dan sebanyak RM3.3 juta sudah dilaburkan untuk tujuan itu,” jelasnya.
FHSB kini membuka peluang kepada sesiapa yang berminat untuk menjadi pengedar untuk negeri dan daerah.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...