Alam sekitar rangsang kreativiti
Design menyerupai bentuk paku pakis |
MENCIPTA sebuah rekaan produk memerlukan lebih daripada sebatang pensil atau sekeping kertas. Masa, kreativiti dan jati diri memainkan peranan penting dalam sesuatu rekaan.
Bagi Shahrul Anuwar Mohamed Yusof, 25, dia mengambil masa lebih enam bulan untuk mereka cipta produk bermula daripada peringkat kajian sehingga kepada pengembangan idea.
“Ia bersifat berterusan dan hampir setiap hari akan ada bahagian yang mahu diperbaiki,” ujarnya ketika ditemui di Studio Utusan baru-baru ini. Jelas Shahrul, pada mulanya, rekaan kerusi itu adalah untuk projek tahun akhir pengajiannya. Persediaan untuk menentukan idea sahaja, dia peruntukkan masa selama tiga minggu.
“Selepas tamat sesi penilaian, pensyarah saya memberi cadangan supaya menyertai pertandingan reka cipta, Radostar. Tidak sangka, selepas terpilih antara lima teratas. Saya muncul juara,” ujar pemenang tempat pertama pertandingan Radostar Prize pada tahun lalu.
Rekaan kerusinya digelar sebagai Fernature Chaise Lounge. Nama itu dipilih kerana fungsi dan dekorasi rekaan menggambarkan paku-pakis. Seperti pereka-pereka lain, sebanyak tiga langkah yang dilalui oleh Shahrul iaitu peringkat pemerhatian, kajian dan pengembangan idea.
“Rekaan saya menyerupai hidupan liar iaitu paku-pakis yang tumbuh di Malaysia terutama di tempat asal saya. Saya perhatikan, paku-pakis adalah tumbuh-tumbuhan yang mempunyai rekaan unik tetapi, kurang diambil perhatian.
“Jika dilihat pada produk Ikea, kita akan tahu itu adalah rekaan dari Sweden, manakala kerusi dari Jepun sangat jelas identiti zen. “Lalu, saya ambil rekaan paku-pakis sebagai asas reka bentuk dengan harapan ia akan menjadi ikon kepada rekaan dari Malaysia,” ujarnya menaruh harapan.
Disebabkan untuk menyertai pertandingan Radostar, Shahrul membuat sedikit kajian berkaitan pemenang-pemenang yang pernah menjuarai pertandingan anjuran Rado.
“Jasper Morrison pernah memenangi pertandingan rekaan jam Rado R5.5. Rekaannya ringkas dan minimal dengan gaya yang sungguh ikonik,” ujar pemuda dari Changkat Lada, Perak itu.
Selain itu, kajian juga melibatkan reka bentuk supaya kadar ergonomik kerusi tersebut sesuai dengan struktur badan manusia.
“Ia penting supaya sebuah kerusi yang berbeza reka bentuk dapat direka. Selain praktikal dan sesuai dengan penggunaan seharian,” ulas Shahrul sambil menunjukkan rekaan kerusinya.
Langkah terakhir adalah peringkat pembangunan idea yang bermula dengan membuat lakaran kasar beberapa kali sehingga reka bentuk yang paling tepat dengan keinginan dan cita rasa dapat dizahirkan.
“Dengan menggunakan perisian tiga dimensi, saya menghalusi rekaan dengan memperkemas garis lingkungan, membandingkan warna dan kesesuaian rekaan.
“Rekaan kerusi saya juga mementingkan kesihatan tulang belakang. Jadi, sebagai inspirasi rekaan, bentuk tulang belakang digunakan dalam rekaan,” terang Shahrul mengenai fungsi bentuk lengkok pada kerusinya.
Pada peringkat itu juga, Shahrul akan membuat beberapa reka bentuk dengan warna yang berbeza bagi melihat kesesuaian produk dan rona sebelum prototaip dihasilkan.
Sambutan di Eropah
Ketika pertemuan dengan Kosmo! baru-baru ini, kerusi prototaip tersebut masih lagi berada di Milan sempena pameran perabot antarabangsa Milan, i-Saloni.
Ketika di sana, ujar pemegang Ijazah Reka Bentuk Industri dari Universiti Teknologi Malaysia itu, sambutan di sana amat menggalakkan malah, ada yang ingin menempah secara pukal untuk pasaran di Eropah.
Ujar Shahrul, prototaip yang dibuat sendiri dalam tempoh masa lima hari itu masih lagi terdapat beberapa kelemahan seperti pemilihan bahan.
“Untuk prototaip, saya menggunakan besi yang tidak sesuai kerana terlalu berat. Penggunaan keluli tahan karat adalah lebih baik.
“Fabriknya pula saya sangat berpuas hati kerana menggunakan fabrik sarang lebah yang boleh diregang bagi menjamin keselesaan dan kekemasan,” ulasnya lagi.
Terkini, Shahrul sedang mendaftarkan reka bentuk kerusinya di Pusat Reka Bentuk Kebangsaan (NDC) sebagai langkah perlindungan kepada rekaannya.
“Walaupun sudah di peringkat ini, rekaannya masih saya halusi supaya produk yang dipatenkan betul-betul menepati kriteria dan terbaik,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Ketua Jabatan, Pengajian Seni Kreatif dan Rekaan, Kolej Segi, Roslan Othman, 31, kerusi rekaan Shahrul itu amat sesuai diletakkan di hotel lobi atau ruang istirehat.
“Rekaannya boleh dipanggil sebagai art to wear iaitu sejenis komposisi seni yang dalam masa yang sama boleh digunakan,” terang Roslan ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Bagaimanapun, kata Roslan, pemilihan warna yang digunakan oleh Shahrul agak suram. Warnanya terlalu formal dan hanya sesuai diletakkan di ruang pejabat.
“Sepatutnya, dia menggunakan rona terang dan bertenaga seperti jingga dan kuning,” ujarnya yang sudah tujuh tahun mengajar dalam bidang rekaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan