Blog Sukses 5S

"Gerbang perkongsian kreativiti & inovasi anda, semoga kita menjadi insan yang berfikiran sukses....senyum, seronok, sejahtera & syukur selalu.."
>>>> Fokus kepada Amalan Persekitaran Berkualiti 5S/QE - Sisih, Susun, Sapu, Seragam & Sentiasa Amal.. Jom 5S!! <<<<

Khamis, 16 Ogos 2012

KREATIF - KUMPUL SAMPUL DUIT RAYA

Pernahkah anda mengumpul Sampul Duit Raya @ Sampul Angpau?.. memang selalu setiap tahun bermacam-macam design dan warna kita akan lihat time raya ini.. cuma tidak terpikir nak kumpul atau buat koleksi... Tetapi sahabat saya ini, iaitu En. Nasir telah membuktikannya bahawa ia boleh dijadikan hobi dan ia suatu perkara unik. menarik bukan!

Kalau nak tahu lanjut, berkenaan hobi ini bolehlah melayari facebook Haji Nasir Haji Daud, blog www.hajinasirdaud.blogspot.com dan email kelabsampulduitraya@yahoo.com

Semoga usaha kreatif beliau ini mendapat sokongan dan mengumpulkan ramai ahli kelab. Sukses selalu...


Sumber Akhbar Sinar Harian:
Kemaruk sampul duit raya
ROSHLAWATY RAIEH
16 Ogos 2012

Mohd Nasir di samping sebahagian koleksi sampul duit raya.

Sebahagian koleksi sampul duit raya milik Mohd Nasir sejak tahun 1986 hingga 2012.

Sampul Malayan Banking Berhad, sampul pertama menjadi kesayangan Mohd Nasir.

Mengumpul sampul duit raya setiap kali lebaran menjelma tidak pernah difikirkan penulis. Namun tidak bagi Mohd Nasir Mohd Daud yang ketika itu berusia 11 tahun. Dia seolah-olah mahu Aidilfitri kunjung tiba secepat yang mungkin.

Bukan kerana tidak sabar untuk menerima duit raya berganda-ganda daripada keluarga sebaliknya apa yang dinanti-nantikan dengan penuh keterujaan adalah sampul duit raya yang pelbagai corak dan reka bentuk.

"Saya kemaruk kumpul sampul duit raya. Tak kisahlah sampul yang macam mana asalkan ia ada imej korporat, saya akan kumpul.

"Disebabkan hobi itu, saya tak segan untuk minta sampul raya daripada kalangan rakan. Mujurlah mereka memberinya tanpa berdolak-dalik. Ada juga bertanyakan kegemaran pelik saya itu. Jawapan saya mudah saja, sebab ia percuma dan mudah dapat di mana-mana," cerita Mohd Nasir mengenai kehidupannya sewaktu kecil lalu.

Menurutnya lagi, sasaran untuk dapatkan sampul duit raya bukan hanya ketika ziarah ke rumah saudara-mara dan rakan taulan sebaliknya jika terjumpa sampul raya di tepi jalan hatta yang sudah koyak sekalipun, dia akan segera mengutipnya dan terus menyimpan.

"Rugi kalau tak ambil sebab bukan senang nak jumpa lagi sampul sebegini. Apatah lagi jika sampul itu datangnya dari bank atau syarikat korporat.

"Walau koyak atau pudar kualiti kertas sampul itu, ia bukan masalah besar. Nilai dan sejarah yang ada di sebalik setiap sampul duit raya yang dijumpai itu lagi penting," ujarnya ketika ditemu bual penulis di pejabatnya di Putrajaya, minggu lalu.

Guna kad manila

Mohd Nasir berkata, kali pertama dia melibatkan diri secara serius dalam dunia himpunan sampul duit raya adalah pada 1986. Ketika itu dia bersekolah dalam darjah 5 di Sekolah Kebangsaan Sungai Kerawai, Teluk Intan, Perak.

Pada masa itu, sampul duit raya yang pertama diterimanya adalah sampul raya keluaran Malayan Banking Berhad (kini Maybank) yang diperoleh hasil ziarah ke rumah guru kesayangan.

"Pada 1987 dan seterusnya, saya dapat banyak sampul raya yang semuanya ada imej korporat seperti Public Bank, Kelab Imigresen Pulau Pinang, Malaysia Borneo Finance, Development & Commercial Bank Berhad, Hong Kong Bank dan Kewangan Usaha Bersatu Berhad.

"Memandangkan setiap tahun saya dapat banyak sampul raya, tiba-tiba saya terfikir tentang bagaimana untuk menyimpan segala koleksi ini dengan baik kerana sebelum ini saya hanya mengikat koleksi sampul berkenaan dengan menggunakan gelang getah.

"Fikir punya fikir, idea menstapelkan di atas kepingan manila kad tiba-tiba datang. Saya kemudiannya segera membeli sekeping kad manila berharga 40 sen dan digunting menjadi empat bahagian.

"Setiap helai bahagian tersebut, saya menstapel enam hingga lapan sampul duit raya. Semuanya masih kelihatan baik sehingga sekarang," katanya yang turut menyimpan sampul ke dalam beberapa album gambar.

Cecah ratusan

Sejak mula mengumpul dari 1986 hingga 2012, koleksi sampul duit raya Mohd Nasir yang kini berusia 37 tahun telah mencecah hampir 500 keping. Pelbagai jenis sampul yang ada. Cantik, berwarna-warni, berkualiti, menarik dan ada yang boleh dijadikan kenang-kenangan ada pada sampul duit raya bapa tiga anak ini.

Sejak 26 tahun menghabiskan masa senggang dengan mengumpul sampul duit raya, kepuasan jelas terbayang pada wajah Mohd Nasir. Baginya segala apa yang dilakukan itu bukan satu kerugian sebaliknya satu keseronokan hebat yang tiada dalam hobi lain.

"Melihat paten sampul yang berbeza setiap tahun dan menyaksikan fasa pengembangan daya kreativiti hasil pereka bentuk tanah air mengikut tahun tertentu sudah mencukupi buat saya.

"Mana mungkin saya boleh lihat ini semua jika tidak kumpul sampul duit raya. Inilah menariknya hobi ini," jelasnya yang turut obses terhadap sampul angpau sehinggakan setiap kali perayaan Tahun Baru Cina tiba, dia antara individu yang turut sibuk mencari angpau.

Jelas Mohd Nasir, walau usia sudah lewat 30-an, dia akan terus aktif dan gigih mengumpul sampul duit raya. Apa jua cara akan dilakukannya semata-mata mahu menambahkan koleksi sampul yang sedia ada.

"Saya sanggup minta sampul duit raya dengan pihak bank ketika sesi tukaran wang. Walau diberinya sekeping, itu sudah memadai.

"Keluarga terutama isteri tercinta, Azlina Yahya pula tak putus-putus bagi sokongan. Ketika berkunjung ke rumah saudara-mara dan rakan, kami sempat bertanyakan adakah ada menyimpan sampul duit raya yang lama.

"Apabila pencarian menemui hasil, segala-galanya diserahkan pada saya walaupun yang dijumpai itu sekeping cuma. Bagai kehilangan kata-kata, saya hanya mampu mengucapkan terima kasih buat semua," ujarnya.

Koleksi kesayangan

Antara koleksi sampul duit raya yang dimilikinya, ada sekeping yang menjadi kesayangan iaitu sampul pertama yang diperoleh pada 1986.

"Sampul Malayan Banking Berhad amat berharga buat saya kerana sampul itu miliki reka bentuk unik. Jika di teliti sampul itu dari tahun ke tahun, memang rekaan dan warnanya cukup berbeza. Keunikan dan kelainan itulah yang menjadikan saya sayang padanya," kata Mohd Nasir.

Beritahunya lagi, ramai rakan hairan bagaimana dia memperoleh sampul duit raya berbeza setiap tahun dan bilangannya pula mampu mencecah ratusan keping sampul.

"Saya katakan pada mereka saya miliki puluhan anak saudara yang kebanyakannya memang menerima duit raya apabila Syawal menjelma.

"Jadi, setiap kali mereka dapat duit raya, saya akan minta sampulnya. Mereka terus bagi kerana tahu pakciknya pengumpul tegar sampul tersebut," ujarnya ceria.

Ditanya mengenai harapan, Mohd Nasir dengan seriusnya berkata mahu mewujudkan Kelab Peminat Sampul Duit Raya Haji Nasir apabila tiba masanya. Bagi yang berminat untuk berkongsi cerita sampul duit raya, Mohd Nasir mempelawa pembaca Sinar Harian melayari facebook Haji Nasir Haji Daud, blog www.hajinasirdaud.blogspot.com dan email kelabsampulduitraya@yahoo.com

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...