Proses sendiri sisa organik anda - lepas ni sampah/sisa makanan kat rumah tu boleh le simpan..utk buat baja. tapi kena ada mesin khas le..apa2 pun ini adalah idea kraetif dari korea utk pengurusan sisa makanan yg moden dan efektif..
sumber : Akhbar Kosmo - 7 Jun 2012
SELAMA ini, Abdullah Hassan yang bekerja sebagai chef di Kelab Danau Golf, Bangi, Selangor perlu menyimpan sisa makanan sehingga menjangkau dua hari sebelum pihak berwajib datang untuk mengutip sampah tersebut.
Hasilnya, bau yang tidak menyenangkan daripada makanan yang bertindak balas dengan persekitaran mula menusuk hidung. Makhluk perosak seperti semut dan tikus berkeliaran umpama berpesta makanan.
Masalah boleh menjadi lebih parah apabila tiba musim cuti umum atau hari perayaan. Kehadiran ahli kelab yang ramai dan kontraktor mengutip sampah yang bercuti menyumbang masalah tersebut menjadi lebih kritikal.
Namun, itu semua sudah berlalu. Hal ini kerana setiap malam makanan yang dikumpul akan diproses dalam sebuah mesin menjadikan kuantiti sampah menjadi lebih sedikit, manakala bau busuk dan kotor sudah tiada lagi.
Selepas kerja pembersihan dapur dilakukan, saki-baki makanan yang dikumpul dibuang ke dalam sebuah kotak besi berukuran panjang 1.2 meter, kelebaran satu meter dan mempunyai ketinggian 1.1 meter.
“Cara menggunakannya mudah, hanya memerlukan empat langkah iaitu masukkan sampah, tekan butang mula, tunggu dan apabila siap, hasilnya dikeluarkan,” kata Abdullah yang bertanggungjawab menguruskan kotak besi itu.
Baru tiga bulan diperkenalkan di kelab golf itu, kotak besi yang dikenali sebagai Mawes-PL menggunakan teknologi dari Korea Selatan dalam memproses sisa makanan menjadi sejenis bahan yang boleh dijadikan baja atau makanan ikan.
Cara penggunaannya berdasarkan konsep ‘plug dan pergi’ iaitu pengguna hanya perlu menekan suis untuk memulakan proses dan ia dibiarkan sahaja sehingga selesai.
Bahan yang terhasil adalah dalam bentuk seakan-akan hampas kayu lembap berwarna hitam atau hitam kemerahan. Baunya pula seperti makanan proses yang baru lepas dimasak.
Bahan hasil tersebut digunakan oleh pihak kelab Danau-Golf menjadi baja organik di persekitaran padang golf tersebut. Mesin tersebut telah dapat menjimatkan kos pengambilan sampah dan kos membeli baja untuk pokok hiasan sekali gus menyelesaikan masalah sampah makanan berlonggok tidak dikutip.
Kata Pengarah Eksekutif Waste Engineering Solutions (Mawes), Noor Asmaraini Megat Hussain, Mawe-PL menggunakan konsep Rapid Heating (sistem pemanasan pantas) dalam proses kitar semula sisa makanan itu.
Saki-baki makanan yang dimasukkan ke dalam mesin tersebut akan diproses dengan kaedah putaran bagi menyamarata bahan sambil dipanaskan sehingga suhu 100 darjah celsius.
Proses mengitar semula akan berhenti secara automatik apabila kuantiti air pada bahan buangan mencapai bacaan isipadu lima peratus atau mengikut masa yang ditetapkan pada jumlah masa tertentu.
Jika hasil bahan kitar semula tersebut mahu dijadikan makanan penternakan, ia sudah tentu tidak akan mendatangkan bahaya kepada haiwan kerana ia diproses pada suhu yang diperlukan supaya kuman dan bakteria jahat mati.
“Disebabkan menggunakan kaedah pemanasan, jika pengguna rajin mengasingkan saki-baki makanan pepejal dengan membuang bahan cecair, bahan boleh terhasil dengan lebih cepat,” terang wanita berusia 37 tahun itu.
Bahan hasil kitar semula makanan boleh disimpan antara dua hingga tiga bulan. Julat hasil terbahagi pada dua bahagian iaitu berkualiti tinggi dan rendah.
Kualiti tinggi adalah untuk dijadikan makanan penternakan seperti ikan, manakala bahan yang dikategori sebagai kualiti rendah boleh dibuat baja atau dibuang begitu sahaja.
Ia bergantung kepada sisa makanan yang dibuang ke dalam Mawes-PL kerana untuk menjadikan makanan ikan, hanya produk makanan sahaja boleh dibuang tanpa dicampur dengan produk bukan organik bersama-sama.
“Setakat ini tiada masalah dijadikan baja tetapi untuk makanan ikan perlu mendapatkan pengesahan halal dan kandungan nutrien daripada pihak berwajib,” ujar Asmaraini lagi.
Berbanding proses membuat kompos secara tradisional yang menurut Asmaraini mengeluarkan gas karbon dioksida, Mawes-PL tidak membebaskan sebarang gas dan tidak menggunakan mikroorganisma.
SAMPAH organik seperti sisa makanan menyebabkan pembiakan makhluk perosak seperti tikus. - Gambar hiasan
Bahan buangan yang terhasil bagi setiap 100 kilogram yang diproses adalah air jernih dengan isipadu lebih kurang 500 mililiter atau sebotol air mineral berharga RM1.
Menariknya, hasil kitar semula makanan akan berkurangan sehingga 90 peratus berbanding kuantiti asal ketika dimasukkan ke dalam Mawes-PL.
Jika Mawes-PL yang berkapasiti 100 kilogram diproses pada kuantiti maksimum, hampas yang terhasil akan seberat lebih kurang 10 kilogram.
Jadi, ruang penyimpanan sampah sebelum ini luas boleh dikecilkan dan kawasan pembuangan sampah yang boleh bertahan 20 tahun turut dapat dimanfaat pada tujuan lain.
Hasil yang diproses oleh Kelab Danau Golf digunakan sebagai baja organik untuk tanaman sekitar kelab golf itu.
Asmaraini menyifatkan mesin Mawes-PL ringkas dan kurang bermasalah jika kerja-kerja penyelenggaraan dibuat secara berkala.
Terdapat tiga peringkat penyelenggaraan iaitu pemeriksaan bulanan, setiap enam bulan dan setahun sekali. Setiap bulan, pemeriksaan sistem supaya berjalan dengan lancar dibuat.
“Bahagian yang kerap rosak ialah spring apabila pengguna tidak mengasingkan bahan kitar semula dengan memasukkan semua jenis sampah,” kata Asmaraini menjelaskan kesan tidak mengagihkan bahan buangan.
Setiap enam bulan sekali mekanisme dan alat ganti diteliti manakala setahun sekali, minyak termo perlu ditambah kerana kebiasaannya kuantiti akan berkurangan. Ia tersejat akibat proses pemanasan.
Selain itu, Mawes-PL mempunyai sistem komputer dalaman yang merakam setiap proses dan bahan yang dilakukan mesin tersebut,
Data yang dirakam digunakan untuk mendiagnosis punca masalah ketika ia berlaku sebarang masalah jadi, kerja-kerja membaiki yang tepat dan efisien boleh dibuat.
Pasaran mesin Mawes-PL menyasarkan tempat-tempat seperti kondominium, pasar raya besar, hotel dan medan-medan selera. Lokasi tersebut terkenal sebagai antara kawasan yang menghasilkan banyak sisa makanan.
Hampir 60 peratus sampah yang dibuang oleh seluruh rakyat Malaysia terdiri daripada saki-baki makanan dan sebahagian kecil sahaja dikitar semula.
Selain itu, ia dibuang secara terus ke kawasan lapangan sampah. Pembuangan secara terbuka boleh memberi kesan rumah hijau dan merosakkan sistem pembentungan.
Sampah makanan juga boleh menggalakkan pembiakan makhluk perosak, menimbulkan bau busuk dan menyakitkan mata yang melihat.
Blog Sukses 5S
"Gerbang perkongsian kreativiti & inovasi anda, semoga kita menjadi insan yang berfikiran sukses....senyum, seronok, sejahtera & syukur selalu.."
>>>> Fokus kepada Amalan Persekitaran Berkualiti 5S/QE - Sisih, Susun, Sapu, Seragam & Sentiasa Amal.. Jom 5S!! <<<<
>>>> Fokus kepada Amalan Persekitaran Berkualiti 5S/QE - Sisih, Susun, Sapu, Seragam & Sentiasa Amal.. Jom 5S!! <<<<
Khamis, 7 Jun 2012
KREATIF - Proses Sendiri Sisa Organik Anda
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan